Sunday 25 May 2014

Kelebihan masuk IPTA, STPM atau MATRIKULASI.

ASSALAMUALAIKUM & SALAM 1MALAYSIA.

Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia telah pun diketahui, calon-calon lepasan SPM mesti masih tercari-cari ke mana hala tuju seterusnya untuk melanjutkan pelajaran terutama dalam institusi milik kerajaan. Adakah ingin sambung pelajaran diIPTA, Matrikulasi atau pun ke Tingkatan 6. Bagi yang masih tercari-cari itu di sini dikongsikan beberapa perbezaan dan kelebihan masuk IPTA, Matrikulasi dan Tingkatan 6 yang sepenuhnya milik kerajaan.

Kelebihan masuk Tingkatan 6

Kebiasaanya pilihan ke Tingkatan 6 merupakan pilihan yang terakhir di buat oleh calon lepasan SPM kerana beranggapan Tingkatan 6 tidak begitu popular dan tidak mahu terikat dengan persekolahan lagi. Tapi sebenarnya ramai masih tidak mengerti kelebihan masuk Tingkatan 6 ini. Antara kelebihan masuk Tingkatan 6 adalah seperti berikut.
1. Sijil STPM diiktiraf untuk bekerja di syarikat swasta mahupun kerajaan di mana calon mestilah mendapat 4 prinsipal atau 3 prinsipal 2 subsid mana-mana yang terpakai berdasarkan prinsipal terendah.
2. Sijil STPM diiktiraf untuk kemasukan ke seluruh universiti di serata dunia.
3. Pointer STPM dikira berdasarkan percampuran kesemua pointer subjek kemudian dibahagi dengan 4 sahaja.
4. Mudah ke universiti dengan pointer STPM yang tak tinggi berbanding kursus matrikulasi, pra-u lain, diploma dan sebagainya kerana taraf akademiknya sangat hampir dengan universiti. Pointer 3.00 ke atas dah dikira tinggi untuk ke universiti.
5. Apabila melangkah ke Tingkatan 6 atau PRA-U, biasanya dikatakan sebelah kaki sudah berada di IPTA. :)

Kelebihan masuk Matrikulasi Kementerian Pelajaran Malaysia

Matrikulasi antara tempat popular yang dipohon calon lepasan SPM untuk melanjutkan pelajaran yang lebih tinggi. Program Matrikulasi atau prauniversiti ini mengambil masa dua (2) semester. Kurikulum program ini memberi penekanan terhadap aspek akademik dan tidak mengabaikan aspek kokurikulum dan mempunyai 3 jurusan iaitu Sains, Perakaunan dan Teknikal. Sukatan pelajaran program matrikulasi lebih bersifat terbuka kerana hanya dibahagikan kepada tiga jurusan umum ini.
Jumlah bayaran yang perlu dijelaskan semasa mendaftar adalah cuma RM 220 untuk jurusan Sains dan Teknikal dan RM 212 untuk jurusan Perakaunan. Yuran pengajian dan penginapan ditanggung oleh Kementerian Pelajaran Malaysia. Semasa belajar di kolej matrikulasi, para pelajarnya akan menerima elaun sebanyak RM 1,250 satu semestar.
Lulusan matrikulasi perlu memohon melalui UPU atau Universiti Sains Malaysia (USM) untuk mengikuti program peringkat ijazah. Mereka yang mempunyai keputusan cemerlang mempunyai peluang yang lebih cerah untuk memasuki program pengajian yang diminati. Mereka yang sederhana pula ada kemungkinan akan mendapat program pengajian yang tidak diminati atau biasa disebut ‘dilelong’.

Kelebihan masuk IPTA

Asasi IPTA
Program Asasi dikendalikan oleh universiti yang berkenaan di bawah Kementerian Pengajian Tinggi. Program asasi terbahagi kepada beberapa jurusan yang khusus serta mengambil masa antara satu hingga dua tahun. Sukatan pelajaran program asasi lebih bersifat khusus kepada program pengajian peringkat ijazah yang dijuruskan untuk program asasi tersebut.
Umpamanya Universiti Malaya (UM) mempunyai 7 program asasi iaitu Asasi Sains Hayat, Asasi Sains Fizikal, Asasi Alam Bina, Asasi Pendidikan Islam, Asasi Syariah, Asasi Usuluddin dan Asasi Pengajian Islam Dengan Sains. Manakala Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) mempunyai 15 program asasi iaitu Asasi Sains Hayat, Asasi Sains Fizikal, Asasi Sains Kesihatan Bersekutu, Asasi Kejururawatan, Asasi Farmasi, Asasi Pergigian, Asasi Perubatan, Asasi Sains Kemanusian, Asasi Bahasa Inggeris, Asasi Bahasa Arab, Asasi Ekonomi dan Sains Pengurusan, Asasi Seni Bina dan Reka Bentuk Alam Sekitar, Asasi Kejuruteraan dan Sains Komputer dan Asasi Undang-Undang.
Di samping itu universiti lain yang mempunyai program asasi adalah Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).
Jumlah bayaran yang perlu dijelaskan semasa mendaftar adalah bergantung kepada jurusan dan universiti yang berkenaan. Yuran pengajian dan penginapan perlu ditanggung sendiri oleh pelajar. Walaupun begitu para pelajar asasi akan ditawarkan pembiayaan wang saku sebanyak RM 1,000 satu semester, yuran pengajian sebanyak RM 350 satu semester dan yuran penginapan sebanyak RM 300 satu semester.
Lulusan program Asasi UM dan Asasi UiTM masih perlu memohon melalui UPU atau USM untuk mengikuti program peringkat ijazah tetapi mereka akan diberi keutamaan untuk memasuki ke universiti program asasi mereka. Manakala lulusan program asasi yang lain akan diserapkan terus ke program peringkat ijazah universiti berkenaan jika memenuhi syarat dan kelayakan yang ditetapkan.
Diploma IPTA
Program Diploma pula diurus dan dikendalikan sendiri oleh pihak universiti. Program peringkat diploma ini biasanya akan mengambil masa selama 3 tahun. Kursus di peringkat diploma ini daripada awal lagi telah dikhususkan kepada bidang-bidang tertentu. Ini bermakna apabila pelajar berkenaan mengikuti program pengajian diploma mereka telah boleh merancang masa depan kerjaya dengan lebih tepat.
Hampir semua IPTA ada menawarkan program pengajian peringkat diploma dan seterusnya program peringkat ijazah yang berkaitan.
Jumlah bayaran yang perlu dijelaskan semasa mendaftar adalah bergantung kepada jurusan dan universiti yang berkenaan. Yuran pengajian dan penginapan juga perlu ditanggung sendiri oleh pelajar. Para pelajar boleh memohon biasiswa atau pembiayaan yang lain seperti PTPTN untuk menampung kos pembelajaran.
Lulusan program diploma boleh terus bekerja jika mereka mahu atau menyambung pelajaran ke peringkat ijazah. Mereka perlu memohon melalui UPU atau USM untuk mengikuti program peringkat ijazah. Walaupun begitu ada juga universiti yang menyerap terus lulusan diploma mereka ke peringkat ijazah jika memenuhi syarat dan kelayakan yang ditetapkan.
#Semoga berjaya :)

*artikel dipetik dari: http://www.nizarazu.com



No comments:

Post a Comment